Touch The Picture
My Story Tuan Tanah Lover TutoBies No Harsh Words and Advertisement Pless! The Most Creative Person
Basecode by : Peah Edit by : Peah Best Viewed : Google Chrome Blog Milik coretansipeah.blogspot.com
|
Usai kerja untuk hari itu. Siti Khadijah menarik nafas lega. Dia masih baru di syarikat itu. Tatkala diterima berkerja di situ, dia segera mengucapkan syukur. Terasa masih baru meninggalkan syarikat itu setelah beberapa bulan selesai menjalani latihan industri di situ, kini dia melangkah kembali sebagai seorang pekerja pula. Ketika masih ramai rakan yang belum mempunyai pekerjaan, Siti Khadijah sudah mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang dipelajarinya. Dia sangat bersyukur di atas nikmat rezeki itu.
Setelah hampir sebulan di situ, Siti Khadijah disapa Zayid, salah seorang pekerja di pejabatnya. Siti Khadijah tidak pernah menyapa Zayid ketika menjalani latihan industri dahulu. Menurut rakan sekerjanya, Zayid belajar di dalam bidang yang sama seperti Siti Khadijah. Siti Khadijah hanya mendiamkan diri. Tidak pula dia berminat untuk bertanyakan lebih tentang hal itu.
Jam sudah menunjukkan 5.35 petang. Dia bergegas mengunci pintu pejabatnya dan menuju ke surau. Ahh..masih belum Asar. Langkah kaki dihayun sepanjang- panjangnya. Tidak dipedulikan keadaan manusia di sekelilingnya. Dia menekan butang lift. Di dalam fikirannya hanya membayangkan tingkat 5, destinasi yang ingin ditujuinya .
Setibanya di sana, dia segera berwuduk dan menunaikan solat. Siti Khadijah sentiasa mencuba sebaik mungkin untuk solat di awal waktu namun adakalanya terlewat juga. Mujurlah, majikannya seorang Muslim yang prihatin tentang solat. Senang rasanya hati Siti Khadijah untuk bekerja di situ.
Ketika ingin pulang ke rumah, Siti Khadijah berpapasan dengan sahabat lamanya semasa di universiti. Amnanamanya. Sejuk sungguh mata Siti Khadijah melihatkan penampilan Amna yang menutup aurat. Cantik sekali. Adakala tercetus perasaan iri melihat betapa tawaduknya Amna menutup aurat. Tidak seperti dirinya yang masih terkial- kial mengenakan pakaian yang labuh dan longgar .
Hanya sebentar perbualan mereka pada petang itu. Amna mengejar masa kerana dia ingin menghadiri program Usrah . Siti Khadijah termangu di situ sendirian.
Duhai diri.. betapa luasnya jurang antara dirimu dan Amna.
Dulu, Siti Khadijah biasa- biasa sahaja orangnya. Sekelumit pun dia tidak peduli tentang menutup aurat. Walaupun orangnya biasa- biasa sahaja namun dia sentiasa bertudung. Pernah ketika usianya belasan tahun dahulu dia ditegur emak apabila sepupu lelakinya bertandang ke rumah namun dia tidak menutup kepalanya dengan tudung. Rentetan itu, dia memandang berat keperluan untuk menutup kepala namun bahagian aurat yang lain masih juga terbuka. Siti Khadijah masih belum mengerti makna menutup aurat ketika itu.
Bertahun lamanya Siti Khadijah begitu. Seiring hari berlalu, dia melihat terlalu ramai kenalan di sekelilingnya mulai berubah mendekati Allah. Dia terdetik ingin tahu. Hati Siti Khadijah sendiri terasa terlalu jauh daripada ketenangan sebenar. Meskipun agamanya Islam namun Siti Khadijah bukan seorang muslim yang patuh sepenuhnya kepada perintah Allah SWT. Masih terlalu banyak kekurangan pada dirinya yang mesti diperbaiki. Baginya, memenuhi amalan wajib seperti berpuasa, dan solat sudah mencukupi. Itu sudah membuatkan dirinya layak bergelar seorang Islam.
Bahkan tidak.. Siti Khadijah masih terlalu dangkal di dalam beragama. Dirinya masih terlalu jauh daripada mengecapi manisnya iman.
Siti Khadijah sentiasa berimpian untuk menjadi seperti Amna. Baginya, Amna sempurna dalam beragama. Pernah disuarakan perasaan irinya melihatkan tawaduknya Amna menjaga batas-batas syariat namun Amna hanya tertawa kecil mendengarkan itu.
“Manusia hanya dibezakan dengan taqwa kepada Allah SWT. Amna pun tak sempurna, apa yang Khadijah nampak hanya dari satu sisi diri Amna je. Amna pun masih berusaha untuk membaiki diri. Sejujurnya Amna kagum dengan Khadijah. Khadijah sangat istiqamah dan tabah. Amna tahu, saat Khadijah buat keputusan nak berhijrah dulu, keputusan tu tak mudah. Namun, Amna bersyukur tengok Khadijah sekarang. Sepatutnya Amna yang iri dengan Khadijah tau, bukan Khadijah iri dengan Amna .”
Hatinya dihambat rasa sebak dek kata-kata Amna. Terasa malu menaruh rasa iri kepada Amna. Siti Khadijah tunduk meneleku lantai. Dia cuba untuk menahan air matanya daripada gugur. Sungguh kata-kata Amna ada kebenarannya. Tidak mudah keadaannya apabila dia membuat keputusan untuk berhijrah dahulu. Mujahadahnya pahit namun segalanya berbaloi kini. Siti Khadijah sangat merasai nikmat kemanisan setelah berhijrah.
Siti Khadijah masih teringatkan ejekan rakannya tika dia mula menjinakkan diri dengan sarung kaki, tika dia mula melabuhkan tudungnya. Mereka berkata Siti Khadijah mencuba untuk menjadi ustazah. Tika itu Siti Khadijah masih terkial-kial mencari pakaian yang sesuai untuk menutupi auratnya dan kebarangkalian cara berpakaiannya tidak kena pada pandangan mereka. Sesekali Siti Khadijah jauh hati juga dengan kata-kata mereka namun dia tetapkan hati.
Bukan kerana mereka Siti Khadijah menutup aurat!
Siti Khadijah mengesat air mata yang mulai bertakung di tubir matanya.
“ Ukhuwah fillah ya ukhti,” tutur Amna sambil memeluk Siti Khadijah. Air mata Siti Khadijah kian mengalir deras. Kristal jernih itu tidak mampu ditahan lagi. Tersedu-sedu Siti Khadijah menangis di dalam pelukan Amna.
Siti Khadijah sentiasa tulus berdoa, semoga Allah SWT sentiasa melorongkannya ke jalan yang lurus. Seiring doa, Allah mudahkan jalannya. Digantikan pula rakan- rakan lama dengan sahabat- sahabat baru yang sentiasa mendorongnya untuk lebih taat kepada Allah SWT. Mudah rasanya hidup bersyariat.
Dia seperti berada di puncak kebebasan walaupun mata manusia yang memandang muslimah sepertinya ibarat terpenjara dek arus fesyen dunia. Terlalu kolot! Mungkin pada pandangan mereka menutupi aurat dengan berpakaian labuh dan longgar sudah sepatutnya ditinggalkan jauh namun hanya hati yang merasai manisnya iman tidak berpandangan sedemikian. Biarlah bertutup sempurna, hakikatnya hati terasa damai di dalam dakapan redha Allah SWT.
Mei 2013…
Saat Siti Khadijah mahu melangkah pulang dari tempat kerjanya, kedengaran namanya disahut daripada belakang.
Siti Khadijah menoleh ke arah suara itu.
“Oh kau Zayid. Ada apa panggil aku?”
Kelihatan Zayid tercungap- cungap menahan nafas. Penat benar lakunya Si Zayid menyaingi langkah Siti Khadijah.
“ Tak ada benda serius pun. Aku nak kau baca ni. Ambil la baca dulu,” ujar Zayid sambil menyuakan risalah itu kepada Siti Khadijah.
“ Risalah apa ni Zayid?” Kehairanan Siti Khadijah. Risalah kini bertukar tangan.
“ Kau baca la ye. Aku balik office dulu,” tergesa- gesa Zayid melangkah pergi tanpa sempat menerangkan apakah isi kandungan risalah itu kepadanya.
Termangu-mangu Siti Khadijah. Hasrat untuk pulang kini terbantut.
Risalah yang sudah bertukar tangan dipandangnya lesu.
Siti Khadijah menyelak helaian demi helaian. Terlalu banyak risalah mengenai parti-parti politik yang bertanding di pilihan raya hadir menjengah saat ini. Masing-masing cuba mengangkat bahawa merekalah yang paling gah menjuangkan nasib bangsa dan agama dengan slogan yang pelbagai namun hakikatnya sesetengah daripada mereka hanya indah khabar dari rupa sahaja. Semakin dibaca semakin Siti Khadijah merasakan ada yang tidak kena pada risalah itu. Risalah itu ditutup cermat. Segera, matanya mencari Zayid. Dia ingin memulangkan risalah itu kepada Zayid kembali.
“Nah risalah ni Zayid. Tak nak la aku baca dah,” ujar Siti Khadijah sambil tangannya menghulurkan kembali risalah itu kepada Zayid.
Risalah itu kembali bertukar tangan.
“ Mana kau dapat risalah ni?” soal Siti Khadijah ingin tahu.
“ Aku dapat risalah ni masa sembahyang Jumaat tadi. Saja nak bagi kau baca. Nak tahu apa reaksi kau,” Zayid menerangkan.
“ Selamanya aku pilih Islam, Zayid,” tutur Siti Khadijah cuba menamatkan bicara.
“ Alhamdulillah,” Zayid melafazkan syukur tika mendengarkan butir bicara Siti Khadijah itu.
Zayid memandang kosong melihat Siti Khadijah melangkah pergi. Mukanya diraup perlahan. Saat itu, detik hatinya hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.
“ Siti Khadijah..bukan aku insan terbaik untuk menjadi pengemudi bahteramu namun ya Allah, jika benar dia untukku, semoga dimudahkan segalanya”
|
ff